Islamic Hijri Calendar

Saturday, November 22, 2008


PILAHANRAYA KAMPUS: MAHASISWA LESU KEPADA JITU


Menyelusuri kenyataan Datuk Idris Haron, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi baru-baru ini berkenaan dengan AUKU yang tidak menghalang mahasiswa bebas berpolitik kampus dengan menggunakan medium media universiti masing-masing.

Setelah mengkoreksi Pilihanraya kampus terhadap beberapa IPT di luar Lembah Klang rata-rata mahasiswa tidak merasai bahang Pilihraya Kampus (PRK) dan keadaanya seakan-akan suram. Kita sedia maklum bahawa AUKU membuka ruang kepada mahasisawa berpolitik dengan cara tersendiri tanpa membabitkan mana-mana parti politik luar untuk berkompromi dengan mahasiswa dan ia sememangnya termaktub dibawah Seksyen 15 AUKU iaitu mahasiswa tidak dibenarkan menyertai mana-mana parti politik dan sebagainya. Persoalan yang bermain diminda kita adalah adakah PRK untuk kali ini hanya sebuah permainan yang sudah diketahui siapa menang atau siapa kalah atau sebuah platform untuk melahirkan bakat kepimpinan mahasiswa.


Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak IPT harus jelas soal ini kerana sesebuah IPT adalah seperti sebuah negara bagi mahasiswa yang akan dikemudi oleh nakhoda atau pemimpin yang benar-benar cemerlang dari sudut kepimpinan dan juga akademik. Kita mahukan suatu perubahan diperingkat mahasiswa yang dirantai dengan hedonisme kepada budaya keintelektualan.

Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya amat menyokong kenyataan Datuk Idris Haron bahawa mahasiswa perlu pandai untuk memperjuangkan hak-hak mahasiswa dalam ruang lingkup IPT masing-masing. Tetapi soal yang lebih penting adalah soal kewibawaan kepimpinan yang diangkat adakah lesu dan tidak berkomitmen dalam tugas atau yang benar-benar berketrampilan dan berwibawa mengemudi sebuah bahtera yang sarat dengan mahasiswa melalui idea keintelektualan.


PMAPIUM menyarankan kepada semua MPP yang menang pada PRK kali ini dan juga bakal MPP yang akan diketahui pada PRK bulan Januari 2009 di seluruh IPT lembah Klang supaya betul-betul memperjuangkan hak mahasiswa dan berani bersuara sekiranya mahasiswa tidak diberikan hak yang sempurna dan yang paling penting adalah terus menyokong dan mendorong pihak IPT masing-masing untuk terus berdaya saing untuk mencapai taraf Universiti yang terkemuka di peringkat Global. Mahasiswa harus berubah untuk menjulang semangat semarak kecemerlangan ke arah yang jitu daripada daerah yang lesu. Sesungguhnya kepimpinan mahasiswa hari ini bakal mencorak sebuah kepimpinan negara pada masa hadapan.

Monday, November 17, 2008





MASYARAKAT KURANG PRIHATIN TERHADAP ISU ALAM SEKITAR


Hari Alam Sekitar Sedunia atau World Environment Day disambut pada 5 Jun setiap tahun. Hari Alam Sekitar Sedunia telah dilancarkan oleh Perhimpunan Agung PBB pada tahun 1972 dan Program Persekitaran PBB (UNEP) juga ditubuhkan pada tahun yang sama untuk membangkitkan kesedaran mengenai alam sekitar dan menarik perhatian politik dan tindakan awam.
Masyarakat Malaysia tidak cakna dan prihatin kewujudan Hari Alam Sekitar Sedunia ini kerana mereka tengah menggaru kepala memikirkan kenaikan harga minyak yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Seharusnya masyarakat mengorak langkah menjadikan Hari Alam Sekitar Sedunia sebagai hari mentajdidkan semangat mengharmonikan dan melestarikan alam sekitar. Cukup banyak isu-isu yang berhubung dengan alam sekitar yang menjadi paparan utama arus media perdana negara. Media-media ini menjuarai isu-isu alam sekitar yang telah dinodai oleh tangan-tangan rakus masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Kebertanggungjawaban media ini dapat dilihat seperti akhbar-akhar tempatan yang meletakkan ruangan Alam Sekitar, media TV3 yang menjadikan Karam Singh Walia sebagai wartawan yang membawa isu alam sekitar di Malaysia yang.
Terlalu banyak isu alam sekitar yang diperkatakan dan direncanakan dalam melestarikan alam semulajadi ciptaan Allah Tuhan yang Maha Agung. Isu pembakaran terbuka masih berlesuasa, isu pencemaran sungai usah dikata, isu pembuangan sampah merata-rata tidak terkira hatta isu haiwan yang patut dilindungi juga menjadi mangsa kerakusan dan ketidakbertanggungjawaban manusia. Masyarakat sudah lari dari fitrah asal yang mana sepatutnya diri yang dilantik oleh Allah sebagai khalifah menjadikan alam sekitar pentas untuk dijaga dan diharmonikan. Kita masih ragu-ragu, kenapa sungai yang kita pelihara dengan pelbagai kempen kesedaran serta pembersihan yang terurus tidak menampakkan hasil yang memberangsangkan. Jika hari ini Majlis Bandaran membersihkan sungai pastinya esok kotor kembali apatah lagi masyarakat yang bergotong royong membersihkan kawasan perumahan, tetapi kesudahannya masih kekal kotor.
Kita seharusnya sedar bahawa masyarakat mempunyai hak untuk mendapatkan alam semula jadi yang sihat dan selamat. Ia telah termaktub dalam 8 hak pengguna yang telah diisytiharkan oleh International of Consumer Unions (IOUC). Seharusnya hak ini menjadi tanggungjawab bersama dengan agenda yang telah direncanakan dalam buku Panduan Pengguna. Semua pihak berperanan sama dalam soal ini seperti pihak kerajaan, pihak industri dan peranan pengguna.
Terlalu banyak program dan aktiviti kesedaran mengenai alam sekitar seperti seperti kempen sayangi sungai kita, pertandingan menulis esei alam sekitar, gotong royong, kempen kitar semula dan sebagainya. Permasalahan yang timbul adalah segala program dan kempen yang dibuat hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri masyarakat.
Seharusnya masyakat bersama-sama berganding bahu menjadikan alam semulajadi ini sebagai satu medan untuk dilestarikankan. Masyarakat sememangnya mengerti kesan dan akibat perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini, tetapi gerak kerja untuk memurnikannya masih kurang. Sewajarnya masyarakat harus sedar alam semulajadi yang dianugerahkan bukanlah satu benda yang boleh di “recycle” atau dikitar semula, tetapi ianya mestilah diharmonikan dan dijaga. Allah telah meletakkan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi ini dengan sikap kebertanggungjawaban, jadi masyarakat haruslah memainkan peranan untuk melestarikan alam ini agar ianya harmoni, aman dan makmur. Selamat Hari Alam Sekitar Sedunia kepada semua masyarakat agar agenda melestarikan alam sekitar ini terus dilaksanakan.

Friday, November 14, 2008





MAHASISWA UNDANG-UNDANG: CADANGAN PENGGABUNGAN MAHKAMAH SYARIAH & SIVIL PERLU PENELITIAN MENDALAM

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Mahasiswa-mahasiswi dari jurusan undang-undang hari ini menuntut supaya cadangan untuk menggabungkan Mahkamah Syariah dan Sivil di negara ini sepertimana yang dicadangkan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad semalam perlu menerusi kajian dan penelitian yang mendalam sebelum dilaksanakan.

Menurut Presiden Persatuan Mahasiswa Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sesi 07/08, Mohd Faridzul M. Nasaruddin berkata cadangan tersebut secara umumnya adalah positif, tetapi memerlukan suatu proses penelitian yang terperinci terlebih dahulu.

Ini kerana menurut beliau pelaksanaan cadangan tersebut tidak mudah untuk dilaksanakan selain akan menimbulkan beberapa masalah dan persoalan lain.

”Realitinya negara ini masih tidak mempunyai undang-undang syariah yang seragam di setiap negeri. Maka timbul kecelaruan dan persoalan berkenaan undang-undang syariah yang manakah yang akan digunapakai jika proses penggabungan mahkamah sepertimana yang dicadangkan benar-benar berlaku” katanya.

”Selain itu, adakah undang-undang Syariah yang akan diimplementasikan itu hanya sekadar berkaitan dengan undang-undang diri atau undang-undang syariah yang sebenar yang merangkumi aspek jenayah sepertimana yang terkandung di dalam Kanun Keseksaan?” ujar beliau lagi.

Beliau juga turut menjelaskan bahawa cadangan penggabungan tersebut pada hakikatnya bukanlah merupakan suatu isu yang besar. Sebaliknya isu pokok yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana kita mahu meningkatkan kembali keyakinan rakyat terhadap sistem Kehakiman Negara dan bagaimana kita mahu meningkatkan integriti dan kredibiliti di kalangan hakim-hakim di negara ini.

Dalam pada itu, menurut Presiden Lajnah Syariah & Undang-Undang, Universiti Malaya, Wan Mohd Amir Yusoff berpandangan bahawa cadangan penggabungan tersebut adalah tidak wajar. Ini kerana cadangan tersebut adalah semata-mata bermatlamatkan untuk melenyapkan dan menyekularkan perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam secara perlahan-lahan dan senyap tanpa disedari.

Selain itu menurut beliau lagi, pengabungan kedua-dua mahkamah ini juga akan melahirkan Peguam Syarie dari kalangan orang bukan Islam. Ini akan memberikan kemudaratan kepada Agama Islam itu sendiri. Kesucian agama Islam juga akan ternoda.

”Kaedah-kaedah fiqh jelas menyebut bahawa asas atau maqasid sesuatu peraturan dikanunkan adalah untuk melenyepkan kemudaratan. Tetapi dengan adanya peguam-peguam syarie daripada kalangan bukan Islam akan menyebabkan wujudnya kemudaratan yang lebih parah” jelas beliau.

Dalam pada itu, menurut Ketua Penerangan Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (BERSATU PERAK), Ahmad Shahir Abdul Aziz pula menjelaskan bahawa secara umumnya cadangan penggabungan ini tidak perlu dilaksanakan tergesa-gesa. Ini kerana cadangan tersebut akan memberikan kesan ke atas undang-undang yang sedia ada itu sendiri. Sebagi contoh, pindaan, pembahuruan dan juga pemasuhan undang-undang yang terdahulu perlu dilakukan. Ini akan memakan masa yang lama dan kos yang tinggi.

”Sebaliknya apabila kita sudah selesaikan setiap isu dan masalah yang timbul serta berupaya menutup setiap lacuna yang ada dan kita memang benar-benar sudah bersedia ke arah itu, maka waktu itu barulah kita boleh realisasikannya” ujar beliau.

Manakala menurut Presiden Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) Mohd Faisal Mustaffa pula menyifatkan bahawa cadangan tersebut adalah baik untuk dilaksanakan sekiranya hanya hakim-hakim yang berkelulusan dari ijazah syariah sahaja yang dibenarkan menghakimi kes-kes yang berkaitan orang Islam.

Menurut beliau lagi sekiranya kes-kes berkaitan agama Islam dihakimi oleh hakim-hakim sivil sedangkan mereka tidak memahami hukum-hukum syarak akan menyebabkan hukuman yang diputuskan sama seperti yang berlaku ketika zaman pemerintahan British dahulu di mana kes-kes berkaitan orang Islam dihakimi tanpa mengambil kira hukum syarak sebagai landasan.

Selain itu, menurut mahasiswi Jabatan Syariah FPI Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mariatun Qibtiah Mohammad Jasni turut mahu cadangan tersebut diteliti terlebih dahulu. Ini kerana beliau bimbang sekiranya hasil daripada penggabungan itu akan melenyapkan keistimewaan mahkmah syariah itu sendiri.

Beliau menjelaskan bahawa kuasa yang tinggal bagi mahkamah syariah hanyalah sepertimana yang terkandung dalam Senarai 2, Senarai Negeri dan terhad kepada soal-soal perkahwinan, perceraian, tuntutan nafkah dan sebagainya. Oleh itu, hak dan kepentingan yang sedikit ini perlu dipertahankan demi kepentingan seluruh umat Islam

Sementara itu, menurut Koordinator Perundangan Syariah Teras Pengupayaan Melayu, Zulzaidi Mahmood ketika diminta mengulas isu yang sama berkata pengabungan kedua-dua mahkamah ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, iaitu mengenai Jadual Kesembilan, Senarai Dua, Senarai Negeri, di mana hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dan orang Islam termasuk Mahkamah Syariah adalah di bawah pegawasan Negeri.

”Mengabungkan Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil adalah tak wajar sama sekali. Ianya merupakan tindakan yang sia-sia ibarat menggabungkan minyak dan air. Sebagaimana dikatahui umum, Mahkamah Syariah adalah khusus untuk orang Islam sahaja, ianya berbeza dengan Mahkamah Sivil iaitu mahkamah untuk semua” jelas beliau lagi.-Mahasiswakini

Monday, November 10, 2008

MARI BERAGAMA



"Sesebuah perhubungan apabila dikemudi dgn ISLAM, dilayari dgn KASIH SAYANG, bersauhkan KESABARAN....insyaAl lah,xkan hilang arah tujuan andai muatannya adalah iman...('',)"
SALAM PERKENALAN DARI LESUNG BATU IPOH